Thursday, May 7, 2009

Satira Jangan Gelap Hati

(Untuk Pameran Ali @ Nurazmal Yusoff: Satira Dalam Catan)

Satira Jangan Gelap Hati

Hasmi bin Hashim

BAGAIMANAKAH kita perlu berbuat apabila berhadapan dengan kehodohan raja atau para penguasa? Jawapannya barangkali ada pada Nasir Ed Din ketika dia terus menangis di satu siang, pada abad ke-13.

Kata orang, dia menitiskan air mata selepas raja berhenti menangis. Demikian lakunya membuatkan baginda bertanya, “mengapa?”

Raja menangis karena melihat mukanya di cermin, dan betapa tua dan semakin hodohnya baginda. Seraya melihat raja menangis, pembesar-pembesar yang berada di situ turut menangis karena kononnya mahu turut simpati kepada paras sang raja yang semakin tua dan hodoh itu.

Lalu, selepas beberapa ketika, begitulah antara cerita clown (jenaka) yang menjadi bahagian sejarah yang mahsyur di Eropah, sang raja pun berhenti menangis. Kecuali Nasir. Nasir tidak. Semua di situ jadi aneh. Demikian raja pun bertanya, “Mengapa kau masih menangis wahai Nasir?”

Lalu, jawab Nasir: Tuanku, Tuan melihat diri Tuan di cermin tetapi hanya sekali dan Tuan menangis, [sedangkan] patik harus melihat Tuan sepanjang masa.”

Di setiap saat, orang justeru perlu jenaka—begitu saya pernah baca dalam banyak kisah-kisah sinikal di zaman Orba, iaitu di satu zaman di mana rejim Seoharto masih berkuku besi di Indonesia. Barangkali, antara hibur-dengan-kongkongan, adalah sebelah-sebelah. Ia, pengimbang, untuk terus wujud harapan, keadilan dan mungkin juga demi memelihara kemanusiaan.

Bagaimana kisah umpama cerita Nasir Ed Din tadi telah terposisi sebagai peranan sosial-politik? Lebih lorat daripada itu, apabila watak-watak clown tidak lain adalah bermula dengan gaya meniru pakaian sepertimana yang dipakai maharaja. Dan ia, tak hanya di Eropah tua, di zaman “Theater Elizabeth.”

Yu Sze, misalnya, dikenang sebagai hero kebangsaan di China, sampai hari ini. Dialah yang menyelamatkan ribuan atau barangkali jutaan nyawa tatkala empayer Shih Huang-Ti sedang mabuk membangunkan benteng lebih 2300 tahun lalu.

Yu Sze, tentunya, bersedih apabila dia tahu bentengan dengan blok-blok batu yang besar itu telah memakan ribuan nyawa. Dia pun mendatangkan sembah ke hadapan maharaja, membawakan sebuah mesej dalam jenaka sehingga akhirnya pembinaan benteng yang hari ini kita kenal sebagai Tembok Besar, pun terhenti.

Di sana, hari itu, raja ketawa. Rakyat gembira. Para penjenaka muncul sebagai juru selamat…

Nasir adalah ‘clown’ itu. Yu Sze di China. Di Laut Redup ini sendiri, jenaka bukan asing, misalnya daripada kelir wayang yang memperkenalkan watak seperti Semar, seperti Petruk, Bagong, Gareng, atau kepada orang Melayu, mereka kenal Pak Dogol—paling tidak dalam nyanyian “Langgam Pak Dogol” oleh M Nasir.

Kawan saya Ali.

Dia dalam pameran “Satire in Paint” (“Satira Dalam Catan”)—seperti yang kita saksikan malam ini, 6 Mei, di sebuah galeri di Petaling Jaya—Ali senang mengambil watak pelawak (penghibur), atau “clown” sebagai asas subjek-imej. Dari sana, dia membangun fragmen-fragmen. Memulakan—barangkali—bersamanya kritik seperti Semar yang kentut apabila tidak bersetuju dengan keputusan atau tindak-tanduk raja.

“Pelawak” dan “kritik”—di situlah kematangan akal dan proses bakal membeza dia dengan dua tiga puntung pelukis sekarang ini. Di galeri-galeri lain, atau di galeri di mana Ali membuat pameran solo sulungnya, ada yang dengan keras hendak menonjolkan sesuatu subjek-imej yang dianggap “rebel.”

Ada yang perlu melukis, misalnya, paras manusia bogel, atau anjing, babi—sebab, subjek itu dianggap taboo (pantang) dalam masyarakat feudal ala orang Malaysia (tak kira apa jua ugama atau tak berugama)… seperti mak-mak, bapa-bapa mahupun adik-beradik dua tiga puntung itu.

Tapi selalunya, lukisan tubuh bogel atau anjing-babi tidak mereka hidangkan kepada keluarga mereka—bukan pula karena takut kepada laknat Tuhan. Melainkan, kepada sistem dan kekuasaan yang mereka ‘sembah’ itu, melainkan Tuhan. Sesungguhnya, label “rebel” yang konon cuba diragakan sebagai seniman kontemporari, nescaya gugur dan batallah akan ia.

‘Lukisan bogel’ misalnya, hanya usaha untuk [manalah tahu] akan membuatkan ada perempuan pseudo-liberal yang melihatnya jadi teruja. Naik berahi. Lalu menyerah diri. Tak lebih ‘rebel’ dari itu! Tidak.

Keinginan seks memang silap-mata pelukis-seniman, yang, tiada jauh kemampuan akal-fikirnya, meski, kepada subjek seks itu sendiri yang sewajarnya menjadi persoalan dan resah yang lebih jauh ketimbang tujuan menyelet seseorang ke ranjang mereka yang penuh pura-pura. Maksud saya, urusan peribadi tidak perlulah dipublikkan…

Kawan saya Ali, nampaknya tidak. Dia tak memerlukan imejan ‘rebellious’ seperti kawan-kawan saya yang lain-lain. Dia hanya perlu memunggar tradisi kritik universal sepertimana yang pernah ditunjukan oleh Nasir Ed Din, Yu Sze dan mungkin juga Semar atau Pak Dogol.

Ali sudah bernikah dengan isterinya. Tiga anak.

Di situ, di mana Ali telah berdiri di dalam lukisannya. Tidak ada Ali yang dua; yang feudal dan cuba-cuba ‘cool’. Cuma ada Ali yang satu. Iaitu, apa yang terlihat di dalam catan-catannya dalam pameran ini.

Dalam kata lain, para pelukis babi, anjing dan pembogel tubuh mungkin punya identiti. Ke-peribadi-an, belum tentu. Belum tentu karena mereka berwajah lebih dari satu. Terus ramai yang mungkin keliru, meski bergembira.

Lalu, pertukaran peran pelawak jadi protagonis telah ditandai pada musim luruh 1940, di Amerika dalam komik popular, Batman. Diterbitkan satu watak tambahan: Joker. Watak itu, tak lain adalah kepanjangan dan berupa kritik terhadap simbol besar karikatur Amerika, Uncle Sam.

Communication Breakdown

Communication Breakdown

Begitu saatnya unsur gothik dan misterius, misalnya mulai mengambil tempat secara popular dalam pasaran moden. Ali, yang lahir daripada bentuk pasaran itu, memakainya kembali. Tanpa—sekali lagi—berpura-pura untuk kononnya memberi peranan baru kepada aspek pantang-larang kepada masyarakat.

Cuba sahaja kita perhatikan, misalnya di dalam “Communication Breakdown” (“Komunikasi Gagal”) yang membubuhkan dua watak pelawak, dan seorang watak perempuan berbaju putih. Pelawak yang dia wakili dengan dirinya sendiri sedang duduk di sofa yang kontras dengan sofa di mana perempuan itu duduk.

Walaupun dua watak itu masih serius iras-iras mereka, namun keseriusan watak pelawak (lelaki) dengan sang perempuan tetap punya ekspresi berbeda antara mereka. Bukan sebab yang seorang lelaki dan yang seorang lagi perempuan. Tetapi karena yang seorang pelawak, dan yang perempuan itu “orang biasa.”

Di sini, tradisi Timur telah meletakkan aras yang tinggi kepada pelawak. Semar, misalnya. Dia menurut mitosnya, adalah adik kepada Dewa. Dia sendiri taat ugama dan terhindar dari melakukan sebarang cela. Semar, jangan-jangan bukan hanya seorang watak pelawak, tapi dipercayai sebagai pembimbing jalan kerohanian raja dan rakyatnya.

Maka, derajat pelawak dan “orang awam” pun beda—dan yang lebih mengharukan, perbedaan itu wujud dari tradisi wayang Jawa.

Between You and Me

Between You and Me

Di antara catan dengan dua watak lelaki (pelawak) dan perempuan itu tadi, ada sekeping lagi yang memakai set yang hampir sama, iaitu “Between You and Me” (“Antara Kau dan Aku”). Kali ini tersorok satu watak “pelawak kecil” [seperti anak patung] di dalam samar, sementara dalam catan yang satu lagi itu, watak pelawak kecil hanya terjulur kedua kakinya.

Sama ada watak itu dalam samar, atau hanya terlihat kaki yang jelas nyata ia adalah bagian daripada latar “urban gothik” (juga kekal di dalam banyak catan Ali) sebagai usaha membubuh peran dan suasana misteri. Kadang separa menggerunkan dan ia, dengan sendiri mengundangkan rasa eksotika lebih daripada melihat sebuah catan anjing-babi, atau tubuh telanjang bulat sekalipun.

“Sembunyi” dan “misteri” dalam kata lain, catan-catan Ali itu masih berhijab. Saya tidak pasti, apakah yang telanjang bulat itu lebih eksotik berbanding yang masih bermisteri?

Portrait of Malay Man Age at Early 30s

Portrait of Malay Man Age at Early 30s

Yang saya pasti bagaimana antara episod “Potrait of Malay Man Age At Early 30’s” (“Potrait Lelaki Melayu Pada Usia Awal 30-an”) bakal menyinggung kuat beberapa ikon imejan “joker” sediakala. Ada ‘kekuatan lain’ yang ditonjolkan Ali. Ia berlegar kepada penguasaan teknikal—atau, selalu apabila orang merujuk aliran pasca moden, akan diperkatakan tentang “teknik-adalah-makna.”

Ali seolah-olah menjayakan sesuatu yang begitu konseptual, dalam debat dan banyak kuliah falsafah, dengan enteng. Seperti dengan sebelah tangan, beliau memilih semahunya menentukan warna pada jari-jemari sama ada warna realis ataupun hijau masak pokok pisang.

Ya… tangan, dan jari-jari, raut wajah, pakaian, sofa, atau apa sahaja seakan-akan boleh menjadi ‘watak pelawak’ bagi tujuan menghiburkan. Semua itu akan berubah, hanya dengan warna yang disapu. Dari “warna serius” menjadi warna ‘identiti’ pelawak.

Pada hemat saya, penggayaan sebegini merupakan bukti di mana warna tidak pernah jadi penghalang kepada pengujudan bentuk (form) sebagai elemen yang mustahak dalam sesebuah kesadaran asas catan empat pepenjuru.

Ali kawan kami dari kelompok pelukis muda yang bakal menggegar, masa demi masa. Ada pula rahsianya dalam “Imitation Master—After Caravaggio” (“Mahaguru Imitasi—Selepas Caravaggio”) itu.

Pertama, ia merupakan catan awal daripada siri-siri “Penghibur” yang memenuhi ruang pameran malam ini. Ali nampaknya menetapkan awal bahawa dirinya akan menjadi sebahagian ‘pemain’ dalam sebuah gambaran “niat penipuan” sepertimana catan oleh Caravaggio.

Imitation Master--After Caravaggio

Imitation Master--After Caravaggio

Namun “Imitasi Master” belum lagi memakai hidung yang merah, atau muka yang separuh hijau dan karena itu, ia tentu sahaja bakal kekal sebagai penanda perubahan jelas kepada proses yang Ali tempoh. Proses untuk mengenal identiti dan menempa keperibadian. Walaupun penyelesaian untuk membubuhkan makna banyak ditentukan oleh penguasaan teknikal dan keperluan visual, arakian “membekaskan” diri ke tengah karya bukan hal yang mudah.

Ramai yang barangkali ‘pandai’ melukis dan lukisan mereka jua cantik—hal itu bukan jaminan bahawa dapat meninggalkan ‘diri pelukis’ ke ruang visual, di luar dirinya. Pelukis babi, misalnya, belum tentu dirinya sendiri sudah cukup masak untuk dan sebagai ‘babi’.

Sama sekali tidak diragu-ragu, soal keperibadian jadi hal cukup mahal kepada seseorang seniman—apatah lagi tatkala berhadapan tentang persoalan bagaimana mampu diperbuat apabila berhadapan dengan kehodohan raja atau para penguasa; dan, bagaimana kita perlu berhadapan dengan kehodohan zaman? Ali telah mencadangkan sesuatu…

Anjing, babi, bahkan orang yang berbogel pun tiada makna lagi apabila datangnya peranan watak-watak separuh dewa seperti Semar, seperti Nasir Ed Din dan Yu Sze. Revolusi, sering memerlukan “yang rebel”—bukan yang munafik!—untuk hampir dengan kekuasaan. Tapi pembaharuan memerlukan dimensi akal-budi, dan ia sering pula diposisi paling hampir untuk mengetuk-ngetuk pintu kebenaran.

Hasmi bin Hashim, pengkritik seni

(dipetik dari jalantelawi.com)

Monday, May 4, 2009

Satire In Pain(t)



Bukan seperti yang diatas judul pameran ketika mula-mula Ali ceritakan pada aku. ‘Entertainer’ – pilihan pelukis sendiri. Kemudian, tanpa aku tahu atas alasan apa, pihak galeri menukar kepada judul ‘satire in paint’ – yang aku kira tidak kurang menarik dan ‘sut’ dengan keseluruhan karya-karya yang dipamerkan.

Ali – pun bukan nama sebenar, yang tidak perlu aku ceritakan disini macam mana boleh menjadi Ali sedangkan nama betulnya, Nurazmal Yusoff. Dan dia, tidak hidup dalam satu tempat, berpindah randah sedari dulu – yang mana atas sebab ini juga maka dia punya (jutaan cerita).

Bibiran! …tambah lagi, dia memangnya punya kolektif memori yang baik. Maka tidak hairan kalau dia hampir ada dalam setiap ruang (ini lebih peribadi aku rasa).

Keresahan paling ketara, sepanjang keterlibatan aku melihat proses dia berkarya, adalah tentang ruang (yang pantang dilihatnya kosong) dan bentuk (form), yang aku anggap sebagai mengkagumkan.

Banyak lagi keresahan (punca cetusan ide), aku lihat tidak jauh dari lingkungan diri pelukis. Ali tidak membuka diri terlalu luas kepada hal-hal luaran. Bukan juga bermakna dia tidak membawa isu yang berat (serius)… dan apa pula peri pentingnya keberatan isu dalam suatu karya? Sama sekali tidak menjadi hal pada pandangan peribadi aku. Sebab sincere itu lebih utama dalam pengkaryaan.

Kita akan dihidangkan dengan cerita yang tidak putus-putus bagai tiada akhirnya, satira, sinikal dan lebih-lebih lagi ‘menghiburkan’. Mungkin ini matlamat pertama pelukis menghasilkan karya – dengan tujuan menghiburkan penghayat. Sekalipun terlalu banyak bayangan imej yang kontra dengan tema ‘entertainer’. Cepat sekali aku dapat menanggap, bahawa penghibur itu mungkin sedang dalam kesakitan.

Bersambung..

.Latika - kalaArtnews